Serangga Perosak Tanaman – Ulat Pengorek

Serangga perosak tanaman ialah serangga yang tidak diperlukan atau pun dikehendaki untuk tinggal atau berada di sesuatu kawasan tanaman. Kehadiran yang sedikit tidak akan memberi sebarang masalah kepada petani. Sekiranya populasi serangga perosak ini melebihi tahap ambang ekonomi, hasil tanaman petani akan terjejas dan boleh menyebabkan kerugian teruk. Antara perosak tanaman yang paling popular ialah ulat pengorek batang. Ulat pengorek batang ini akan memakan batang tanaman dari bahagian dalam dan menyebabkan bahagian yang diserang mati. Ulat ini menyerang pelbagai jenis tanaman daripada padi, sayur-sayuran dan juga pokok buah-buahan. Terdapat pelbagai jenis ulat pengorek batang yang menyerang tanaman.

Serangga Perosak - Ulat Pengorek Batang

Serangga Perosak – Ulat Pengorek Batang

Ulat pengorek buah seperti buah manga, ulat pengorek batang ini dari spesies Rhytidodera simulans. Ulat ini berasal dari keluarga cerambicidae dari order Coleoptera. Serangga dewasa untuk ulat ini adalah kumbang yang mempunyai sepasang sesungut keras dan berwarna coklat gemar bersembunyi di bawah himpunan rimbunan daun kering. Serangga dewasa akan bertelur pada bahagian pucuk atau pelepah dahan manga. Larva yang menetas akan mula mengorek ranting muda sehingga ke bahagian batang utama. Serangan akan menyebabkan dahan, batang atau ranting yang diserang akan kering, patah dan mati. Larva akan mengorek ke permukaan dahan atau batang sebagai lubang pernafasan dan mengeluarkan fras (bahan buangan). Fras yang basah menunjukkan kehadiran larva dalam lubang tersebut. Kawalan untuk serangan ulat tersebut boleh dibahagi kepada dua iaitu secara kultura atau semula jadi atau pun kawalan menggunakan racun kimia.

Serangga Perosak - Ulat Pengorek Batang

Serangga Perosak – Ulat Pengorek Buah

Langkah awal yang paling berkesan mengawal pembiakan ulat ini adalah dengan membersihkan kawasan ladang daripada rimbunan daun-daun mati agar tempat persembunyian dan juga pembiakan kumbang ini boleh dimusnahkan. Kawalan secara semula jadi seperti mencantas dahan atau ranting pokok mangga agar mendapat cahaya matahari dan mempunyai pengudaraan yang baik. Untuk pokok yang telah diserang, cantas dahan-dahan yang diserang dan kumpulkan di satu tempat untuk dibakar atau pun dihapuskan. Pembakaran akan memusnahkan telur-telur kumbang ini. Bagi kawalan secara kimia, racun yang mempunyai bahan pewaris aktif iaitu Dimethoate digunakan. Suntik pada lubang yang diserang, tutup lubang dengan tanah liat atau plastisin sehingga rapat. Ulangi langkah tersebut sehingga semua ulat pengorek batang dihapuskan. Elakkan memakan hasil buah yang ada semasa proses kawalan dijalankan untuk mengelakkan kesan toksik daripada racun tersebut.

Serangga Perosak - Ulat Pengorek Batang Padi

Serangga Perosak – Ulat Pengorek Batang Padi

Bagi ulat pengorek batang untuk tanaman padi, terdapat 3 jenis ulat uatang yang biasanya ditemui di kawasan tanaman padi di negeri Selangor iaitu ulat pengorek batang merah jambu (Sesamia inferens), ulat pengorek batang kuning (Scirpophaga incertulas) dan ulat pengorek batang berjalur kepala kitam (Chilo polychrysus). Populasi tertinggi untuk kawasan sekitar sawah padi negeri Selangor adalah ulat pengorek batang kuning (Scirpophaga incertulas). Kitaran hidup ulat pengorek batang sehingga lengkap satu kitaran adalah mengambil masa hampir dua bulan. Ini adalah bersesuaian dengan keadaan selepas aktiviti penuaian (waktu rehat petani) dan sebaik sahaja penanaman pada musim baru bermula, maka ulat pengorek matang turut mula membiak. Serangan yang teruk menyebabkan tangkai buah menjadi kering dan batang padi patah. Ulat pengorek menyerang pangkal menyebabkan daun mati serta pucuk mati. Simptom ini pucuk mati dipanggil “bulu ayam” kerana kelihatan sama. Sekiranya tidak dikawal, petani akan mengalami kerugian kerana padi yang diserang tidak mengeluarkan hasil. Beras yang terhasil juga akan kehitaman kerana diserang oleh kulat dan bakteria. Kaedah pengawalan yang disyorkan antaranya ialah penjagaan kebersihan kawasan sawah. Sisa-sisa tanaman seperti tunggul dan jerami padi dikumpul, dihapuskan dan dibakar secepat mungkin selepas penuaian. Amalan  penanaman serentak juga boleh dilakukan bagi menghalang pembiakan ulat pengorek batang ini. Selain itu, gunakan benih padi yang disyorkan oleh jabatan pertanian. Penggunaan baja N juga hendaklah mengikut kadar yang ditetapkan dan elakkan daripada berlebihan. Penggunaan racun seperti racun fipronil pada umur padi 30 dan 55 Hari Lepas Tanam. (Lain;Padan 3G, Regent 3G atau Furadan 3G – Jenis Butiran/Granul) ataupun racun Provethon 5SC, Virtako 40 WG, Regent 50SC, Basudin 60 EC, Mimic 20F pada peringkat padi 30 dan 55 hari lepas tanam. Jangan guna racun yang boleh menghapuskan musuh semula jadi kerana boleh menyebabkan populasi ulat pengorek batang membiak dengan cepat.

Serangga Perosak-Ulat Pengorek Buah Cili

Serangga Perosak -Ulat Pengorek Buah Cili

Ulat pengorek batang juga menyerang tanaman sayur-sayuran seperti terung, rock melon dan juga timun. Ulat pengorek ini akan memakan batang dari dalam dan menyebabkan batang menjadi layu dan mati. Serangan pada batang menyebabkan pucuk menjadi layu. Larva juga mengorek dan memakan isi buah. Buah akan menjadi busuk dan gugur. Antara simptom yang sering dapat dilihat pada tanaman terung adalah batang tanaman jadi layu dan mati pada sebahagian sahaja sahaja. Kawalan kultura yang boleh dilakukan ialah membuang dan memusnahkan segera pokok yang telah diserang. Gunakan racun yang mempunyai bahan aktif seperti cypermethrin untuk mengawal serangan perosak ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *