Serangga Perosak Tanaman – Aphid, Thrip & White Fly

Dalam bidang pertanian, kita tidak akan lari daripada diserang oleh perosak tanaman sama ada serangga, haiwan ataupun penyakit. Perosak tanaman ini boleh hadir walaupun skala tanaman kita kecil dan hanya di rumah. Sekiranya tidak dikawal, tanaman akan rosak dan mati. Oleh itu, pentingnya kita belajar dan mengenali perosak tanaman untuk pokok yang kita tanam.

Antara perosak tanaman yang sering hadir hampir setiap tanaman adalah bena. Bena merupakan serangga kecil dari family Homoptera. Bena menyerang tanaman dengan menghisap cecair dari tisu-tisu pembekal air dan makanan. Bena suka menghisap di batang-batang pokok terutama pokok padi. Bena merupakan antara perosak utama tanaman padi. Padi yang diserang akan menunjukkan simptom seperti kesan terbakar yang dipanggil “hopperburn”. Bena ini menghisap cecair dari pangkal padi menyebabkan pertumbuhan pokok padi terbantut dan akhirnya mati. Selain menyerang pangkal, bena ini juga menyerang pada tangkai menyebabkan terhasilnya padi yang tidak penuh. Bena ini menyerang pokok padi dari kawasan semaian lagi dengan bertelur di celah-celah batang padi. Apabila dipindahkan ke bendang, bena menjadi dewasa ini dan aktif menyerang padi. Kajian menunjukkan telur bena perang sensitif kepada suhu serta cuaca. Telur mengecut dan kekeringan sekiranya pokok induk layu. Penggunaan racun serangga menyebabkan populasi pemangsa semula jadi bena seperti labah-labah Pardosa pseudoannulata dan Araneus inustus berkurangan.

Kawalan bena perang boleh dilakukan melalui dua kaedah iaitu secara kimia atau biologi.  Untuk kaedah kimia, penggunaan racun seperti buprofezin, buprfezin+isoprocarb, imidacloprid, fipronil dan thiamethoxam. Kawalan lain yang boleh dilakukan seperti menggunakan  varieti  padi tahan bena seperti mr219. Mengurangkan  jumlah  baja  Nitrogen  kepada  jumlah  yang  disyorkan  sahaja juga boleh dilakukan bagi mengelakkan penggunaan  N  berlebihan.  Amalan  penanaman serentak juga dapat mengurangkan kesan serangan bena terhadap  padi.  Pemangsa  semula  jadi  utama adalah labah-labah seperti Lycosa sp (wolf spider) dan kepinding (mired bug) Cyrtorhinus lividipennis. Kawalan semula jadi disyorkan terlebih dahulu sebelum penggunaan racun serangga digunakan.

Thrip merupakan salah satu spesies kutu daun yang mampu merosakkan banyak jenis tanaman seperti cili, manga, tomato dan lain-lain lagi. Thrip mempunyai lebih 5000 spesies yang menyedut cecair dalam tanaman. Kebanyakan serangan kutu thrips menyebabkan daun kecacatan pada buah, daun, pucuk dan juga sesetengah tanaman pada bahagian batang. Kutu thrip ini menyedut cairan dan menyebabkan tisu yang diserang kecut, bengkok, kehitaman dan juga mengerekot. Akibat serangan ini, kualiti buah akan berkurangan. Serangan kutu thrip pada buah cili menyebabkan penyakit kerinting di mana daun-daun cili kelihatan kerinting dan menyebabkan layu dan mati. Buah cili yang diserang akan berkedut, calar dan berwarna kehitam-hitaman serta berbintik-bintik menyebabkan nilai kualiti susut. Bagi tanaman lain seperti mangga, bahagian yang diserang seperti putik akan mempunyai kesan parut berwarna coklat kehitaman dan lama-kelamaan gugur dan kesan seperti terbakar. Buah mangga yang diserang menyebabkan parut dan tanda kehitaman. Bahagian parut buah terdedah ini senang diserang oleh kulat menyebabkan kulit buah menjadi kehitam-hitaman dan kurang menarik serta susut nilai.

Pengawalan kutu thrip bergantung kepada tanaman dan kawasan tanaman yang diserang. Pemeriksaan kehadiran kutu thrips boleh dilakukan dengan menggunakan kanta pembesar ataupun menggunakan STICKER PELEKAT KUNING. Kutu thrips ini akan tertarik dan bergerak ke STICKER PELEKAT KUNING. Kita boleh mengira bilangan kutu thrips sama ada telah mencapai bilangan maksima tahap ambang ekonomi ataupun belum. Sekiranya mencapai tahap ambang ekonomi, maka program pengawalan perlu dilakukan bagi mengelakkan penurunan hasil tanaman. ANtara kawalan yang disyorkan ialah dengan membuang putik, daun atau bahagian yang telah diserang oleh kutu thrips ini. Selain itu, menggunakan pemangsa semula jadi seperti kumbang kura-kura juga digalakkan untuk mengawal populasi kutu thrip. Sekiranya bilangan kutu thrips terlalu banyak, semburan racun yang mempunyai bahan aktif seperti imidachlorpid, deltamethrin, dan mancozeb (racun kulat) untuk membunuh kutu thrip.

White fly ataupuyn dikenali sebagai lalat putih juga merupakan perosak tanaman. Lalat putih ini sama seperti aphid iaitu menyerap cairan daripada tanaman terutama bahagian bawah daun sebagai sumber makanan. Bahan buangan lalat putih, merupakan cairan manis dan melekit menjadi tempat pembiakan kulat jelaga hitam. Ini menyebabkan bintik-bintik hitam pada daun. Selain itu, simptom serangan lalat putih ialah daun menunjukkan bintik-bintik klorosis, hijau daun yang tidak sekata, dan daun berbelak iaitu hijau tua dan hijau muda. Pertumbuhan pokok juga terbantut sekiranya tidak dikawal. Lalat putih juga merupakan vektor penyebab utama jangkitan penyakit pada pokok. Untuk kawalan, pangkas bahagian yang diserang oleh lalat putih. Gunakan perangkap berpelekat untuk memerangkap lalat putih. Sekiranya terlalu banyak, gunakan racun serangga yang disyorkan seperti malathion, electhron, tokuthion, confidor dan juga mospilan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *