Serangga Perosak Kelapa Sawit & Kaedah Kawalannya

Tanaman kelapa sawit merupakan tanaman komoditi yang penting dan menjadi eksport utama dalam bidang pertanian. Malaysia merupakan negara pengeluar kedua terbesar selepas Indonesia. Kelapa sawit tidak terkecuali daripada masalah serangan perosak yang banyak terutama serangga.

Serangga perosak tanaman merupakan sejenis serangga yang tidak diperlukan dalam kawasan penanaman dan mendatangkan kerosakan serta menjejaskan hasil tanaman. Terdapat pelbagai jenis serangga perosak yang menyerang kelapa sawit. Serangan serangga perosak ini perlu dihalang untuk mengelakkan kerugian besar kepada pengusaha tanaman. Serangan yang serius menyebabkan pokok kelapa  bukan sahaja tidak mengeluarkan hasil malah lebih teruk, pokok akan mati. Serangan serangga perosak ini perlu dikawal supaya tidak mendatangkan kerugian.

Tujuan mengawal serangga perosak supaya tanaman tidak musnah dan juga mengelakkan daripada pengusaha mengalami kerugian. Serangga perosak tanaman perlu dihalang atau dibendung dari peringkat awal lagi sebelum serangan yang serius terjadi. Selain daripada kos pengurusan pengawalan yang tinggi untuk membendung, kelewatan mengawal menyebabkan kerosakan yang besar akan menyebabkan pengusaha tanaman ini mengalami kerugian dan berkemungkinan besar terpaksa menghapuskan seluruh tanaman dan menanam semula. Ini akan mengambil jangka masa yang panjang untuk mula menuai hasil.

Bagi tanaman kelapa sawit, terdapat banyak serangga perosak tanaman yang menyerang di semua peringkat. Selain serangga perosak, terdapat juga haiwan yang menyerang tanaman ini seperti tikus dan landak. Antara serangga perosak utama ialah kumbang kaboi. Kumbang ini menyerang tanaman kelapa sawit dari peringkat anak lagi ditapak semaian dan juga pada awal penanaman pokok di ladang. Terdapat dua jenis kumbang kaboi yang menyebabkan kerosakan iaitu kumbang Apogonia dan Adoretus. Kumbang Apogonia (Apogonia sp.) berwarna hitam, manakala kumbang Adoretus (Adoretus compresus) berwarna perang dan berbulu halus dibadannya. Kumbang ini hanya aktif pada waktu malam dan bersembunyi dalam tanah pada waktu siang. Kumbang ini menyerang bahagian daun muda kelapa sawit terutama dalam tapak semaian. Kesan serangan boleh dilihat dengan daun rosak di tepi (kumbang Apogonia) dan tengah daun berlubang-lubang dalam bentuk yang kecil (kumbang Adoretus). Kawalan yang berkesan ialah dengan menyembur racun trichlorfon atau cypermethrin pada daun sawit. Selain itu, memasang perangkap lampu dan juga jaring pelindung boleh dilakukan.

Selain kumbang kaboi, kumbang tanduk@badak (Orycetes rhinoceros) juga antara serangga perosak yang menyerang tanaman kelapa sawit pada peringkat awal. Serangan kumbang ini boleh menjadi teruk sekiranya kawasan tersebut mempunyai tempat pembiakan yang sesuai seperti tunggul reput dan bahan organic seperti habuk papan, najis lembu dan tandan buah sawit yang kosong. Kaedah penanaman tanpa pembakaran juga menimbulkan masalah kepada pengusaha ladang kerana batang sawit yang tumbang, diracik dan dibiarkan mereput menarik perhatian serangga perosak ini untuk dijadikan sebagai tempat pembiakannya. Kumbang ini akan menyerang bahagian tisu lembut dan pucuk muda sawit menyebabkan berlubang berbentuk baji. Pucuk muda yang diserang akan mereput dan akhirnya patah. Kesan daripada serangan ini menyebabkan daun muda yang keluar akan berbentuk kipas pada bahagian hujungnya. Serangan teruk boleh menyebabkan pokok terbantut dan lebih teruk lagi jika tidak dikawal, pokok akan mati. Bagi mengurangkan serangan kumbang, tutup tempat pembiakan yang berpotensi dengan menanam kekacang.

Kawalan lain seperti menyembur racun cypermethrin atau lambda cyhalothrin pada bahagian pangkal pucuk sawit. Racun umpan carbofuran juga berkesan dalam mengawal serangan kumbang ini jika diletakkan pada bahagian yang diserang. Kawalan lain yang boleh digunakan ialah menggunakan perangkap feromon. Feromon ini akan menarik perhatian kumbang jantan untuk berkumpul. Hormon ini boleh dibeli secara komersil dan baunya boleh bertahan lebih kurang dua bulan di ladang. Ulat bungkus (Metis plana) adalah jenis rama-rama yang tidak berkepak dan larva membentuk kelongsong pada daun. Ulat ini mempunyai banyak musuh semula jadi cuma sekiranya berlaku serangan serius dan meluas, kawalan racun seperti metamidophos pada kepekatan 0.25% boleh digunakan.

Serangga serangga perosak tanaman lain seperti ulat tandan buah (Tirathaba mundela) di mana rama-rama dewasa akan bertelur pada kudup bunga, larva yang menetas akan memakan kudup bunga dan juga putik buah menyebabkan buah gugur. Kawalan menggunakan racun metamidiphos ataupun agen biologi iaitu Bacillus thuringiensis (BT). Selain itu, ulat beluncas dan juga ulat pemakan daun yang menyerang dan memakan daun-daun kelapa sawit. Kesan serangan serius menyebabkan daun hanya tinggal lidi sahaja. Serangga perosak ini mempunyai banyak musuh semula jadi. Sekiranya populasi terlalu banyak, kawalan menggunakan semburan racun serangga seperti Dieldrin pada kepekatan 0.02% dan juga Bacillus thuringiensis (BT) boleh dilakukan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *